Ahad, 20 April 2008

Hari Bumi

Tanggal 22 April ni Malaysia dan seluruh dunia akan menyambut secara serentak hari yang cukup penting dan bermakna bagi penduduk dunia iaitu Hari Bumi (Earth Day).

Persoalannya sekarang adakah kita menyedari dan melakukan apa yang sepatutnya kita lakukan untuk dunia ini? Pelbagai cara yang boleh kita lakukan. Jika kita tidak mampu untuk melakukan untuk dunia kerana kedudukan kita yang kerdil ni, sekurang-kurang kita dapat lakukan untuk diri sendiri dan kawasan rumah kita. Lihatlah kedudukan negara kita yang dikelilingi oleh laut dan selat menjadikan kedudukan negara ini sangat strategik. Tetapi janganlah kita lupa kedudukan negara tidak selamat untuk diduduki jika paras air laut meningkat dari tahun ke tahun! Apakah negara kita juga akan menerima nasib yang sama dengan negara-negara Pasifik Selatan yang terpaksa dan akan meninggalkan tanah tumpah darah sendiri dan berhijrah ke negara-negara lain seperti Australia dan New Zealand. Generasi dan masyarakatnya akan pupus dan kehilangan identiti. Jadi fikirkanlah apa yang sepatutnya kita lakukan untuk dunia kita.

Penyumbang utama ialah pencemaran asap kilang dan kenderaan. Jika semua asap ini dikumpulkan tentu keadaannya amatlah menakutkan dan kemungkinan dapat menyedarkan para pemimpin negara yang terlalu mementingkan keuntungan semata-mata. Jika dahulu dunia barat telah dikejutkan dengan hujan asid dan melenyapkan kebanyakan hutan di sana. Sekarang ini kita boleh melihat keadaan yang sama di dunia Asia. Hutan Negara China telah banyak dicerobohi samata-mata pembangunan kilang-kilang dan kawasan perindustrian. Hutan di sana juga semakin kurang dan hujan asid juga telah melanda di sana di samping kesan-kesan pencemaran seperti penyakit berasaskan pernafasan seperti asma, sesak nafas, pening kepala dan sebagainya. Antara lain ialah kecacatan bayi yang baru lahir dan kecacatan fizikal.
Apakah kita mahu melihat dan hidup di dunia yang menjadi tandus dan berpasir? Inilah akibatnya jika kita tidak mengambil usaha yang cepat dan gagal bertindak. Jika hanya menunding jari ke arah orang lain sahaja ia tidak akan membantu apa-apa. Apakah kita mahu Planet Bumi yang dikenali sebagai Bumi Hijau akan hilang dan setanding dengan Planet Kejora dan Marikh disebabkan ketandusan dan kepanasannya? Siapa yang mampu hidup dan mendiami dunia ini? Ke manakah manusia akan pergi dan tinggal? Persoalan ini sentiasa bermain-main di fikiran orang-orang yang mengambil berat tentang dunia. Apakah mereka yang berkuasa juga memikirkan perkara yang sama?
Walau apapun, kewujudan padang pasir hari ini juga penting demi menjaga kitaran cuaca dunia terkawal, cuma jika perluasan kawasan padang pasir terus merebak, kita juga akan melihat dan merasa kesannya yang maha hebat.

Jika kita tidak mahu kerosakkan dunia berlaku sebelum waktu, maka marilah kita bersama-sama melakukan sesuatu yang bermakna dan bijak. Walaupun sejak zaman Isra' dan Mikraj telah digambarkan dunia ini telah tua, maka kita janganlah kita mempercepatkannya lagi. Kita perlu hidup di dalam dunia yang aman, segar dan bebas pencemaran. Ambillah langkah yang boleh kita lakukan di rumah dan pejabat contohnya kurangkan penggunaan elektrik, jimatkan air, tutup paip air dengan rapat, jangan biarkan alatan elektrik dan elektronik dalam keadaan sedia (Stand by mode) dan lain-lain lagi.

Jadi, tolong lakukan sesuatu untuk dunia dan kehidupan kita. Janganlah terlalu mementingkan diri sahaja. Sedarlah....

Tiada ulasan: