Isnin, 7 April 2008

Kg. Buku Melaka

Jika anda telah membaca coretan aku yang terdahulu pasti akan membaca yang aku akan memberi komen mengenai Taman Botanikal Ayer Keroh dan isi dalamnya. Sebelum itu setiap orang yang mengaku dirinya orang Melaka wajib berbangga kerana di dalam Negeri Melaka yang kecil ni terdapat taman perhutanan yang boleh dibanggakan. Jika di Selayang boleh berbangga dengan Taman FRIMnya, Melaka juga tidak kurangnya. Taman ini lengkap dan menawan. Jika orang Melaka tidak pernah menjejakinya, memang anda patut berasa malu kerana anugerah ini anda tidak hargai!

Taman ini lengkap dengan laluan joging dan alat untuk senaman dan regangan di samping kehijauan dan kesegaran udara di sini amat cukup selesa. Kalau aku tinggal berhampiran mesti aku akan menjadi pelanggan setia di sini, jika tidak berjoging cukuplah jika menghirup udara segar di sini. Seperti tidak dapat dipercayai kewujudan taman ini kerana ia terletak di laluan utama (Lebuhraya PLUS) dan persekitarannya amat membantu untuk menambah nilai taman ini seperti tempat parkir yang banyak, berdekatan dengan pelbagai muzium (Banyak lagi aku belum lawati) dan Zoo Melaka yang besar itu.

Berkenaan laluan joging amatlah menarik dan selesa. Tetapi jika hari hujan hendaklah berhati-hati kerana agak licin. Sepanjang aku berada di taman ini bilangan pengunjung Melayu amat menyedihkan. Jika ada pun hanya pekerja dan pengunjung Melayu yang mahu makan-makan dan berkareoke. Pada pandangan aku kita harus menggunakan taman ini sebagai satu riadah yang menyihatkan. Opps...berkeroke juga satu bentuk riadah. Terpulang kepada individu untuk menilainya. Pada pandanganaku ini, hanya kaum Cina sahaja yang menggunakan taman ini dengan aktiviti joging dan regangan, bilangan kaum lain amat kurang dan boleh dibilang dengan jari. Mungkin aku terlalu prejudis dan aku tidak membuat statistik dan kajian yang menyeluruh. Kita hanya mampu mencari dan menambah lemak yang tidak sihat di badan tanpa mengurangkan dan menjalani cara hidup yang sihat.

Oh aku terlalu banyak berleter mengenai orang sehingga dah lupa nak cakap pasal Kg. Buku. Konsep yang cuba diterapkan memang bagus dan bermakna, tetapi berapa kerat sahaja yang menggunakannya? Terdapat banyak buku yang santai dan ringan sehingga yang berat. Bila aku singgah dan menulis nama di dalam buku pelawat, bilangan pengunjung cukup menyedihkan. Memang orang Malaysia tidak suka membaca, ataupun hanya suka membaca yang berkaitan hiburan dan sukan sahaja. Kita akan berasa tenang jika kita dapat membaca di dalam suasana yang cukup menyenangkan dan nyaman ini. Tapi mungkin juga bilangan pengunjung yang kurang juga disebabkan kedudukannya yang tersorok. Apapun alasannya, kita memang suka memberi alasan dan suka memberi komen juga mengarah.

Hanya satu saranan aku hargailah apa yang kita ada. Aku cukup menghargai Taman Tasik Taiping dan Bukit Larut. Bila aku berada di kejauhan ini, aku memang merasakan aku kehilangan dan merindukan tempat-tempat yang menarik ini. Jangan lupa ya...

Selain dari laluan joging dan senaman, taman ini juga menyediakan perhiasan dan kelengkapan tertentu. Di dalamnya terdapat haiwan-haiwan purba seperti dinasour. Kadang-kadang aku fikir beginikah bentuk dinasour yang sebenar... Ah tak kisahlah kerana aku bukanlah paleontogist. Aku tak kisah sangat pun walaupun memaksa aku memikirkannya. Di samaping itu, terdapat juga konsep Taman Dalam Cerita. Cerita Sang Kancil dan sepuluh ekor buaya yang bodoh pun ada, cerita Sang Gagak dan Takar air dan bermacam-macam lagilah. Yang penting anda harus mengalaminya sendiri dan bagilah komen anda. Jika anda bersetuju dengan pendapat aku, baguslah.



Ini merupakan cendawan yang tumbuh di taman ini. Walaupun aku selalu berjumpa di dalam hutan kampung aku, aku teruja melihat hidupan berspora ni. Di atas lantai hutan terdapat tumbuhan ini. Sungguh menarik bukan? Ciptaan Allah tiada tandingannya.


Lihatlah kecantikan ikan-ikan Koi ni. Memang cantik dan keterujaan lantas aku tangkap gambar ikan ini. Ikan-ikan ini diletakkan di pintu masuk taman ini. Kecantikan ikan-ikan ini mampu menghilangkan tekanan orang-orang yang melihatnya.
Sebagai rangkumannya, aku berharap ramai lagi orang yang akan sedar kewujudan taman ini. Dan yang paling penting kita mesti menghargai anugerah Allah yang sungguh bermakna dan berguna. Jangan kita take for granted dengan apa yang kita ada. Generasi akan datang akan lebih menghargai kita jika usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam berterusan. Tempat ini juga sesuai untuk proses pembelajaran luar darjah dan aktiviti luar yang mampu merangsang pemikiran dan fizikal murid-murid dan juga orang dewasa. Dan yang paling penting, jangan rosakkan alam kita. Jangan kita beriadah tetapi mengabaikan alam sekitar. Biarkan biodiversiti alam ini berterusan berpaksikan apa yang telah Allah SWT tetapkan.

Tiada ulasan: